Thursday, July 18, 2013

Ucapan Pengetua



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Seiring dengan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia, pendidikan dan profesionalisme keguruan memikul tanggungjawab memberikan pendidikan berkualiti, membentuk masyarakat berpengetahuan dan produktif bersesuaian dengan perubahan dan kemajuan yang berlaku dalam alaf digital ini.

Guru perlu menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kompetensi yang akan menjadi kerangka tindakan perubahan bagi memantapkan kualiti perkhidmatan guru mengikut arus perubahan perdana yang berlaku dalam revolusi pendidikan.

Warga pendidik yang menjadi pelaksana dasar pendidikan negara perlu sentiasa bersedia mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan baharu bagi membolehkan mereka menjalankan peranan sebagai agen perubahan dalam masyarakat. Inovasi dan idea-idea baharu yang kreatif dan inovatif perlu dicetuskan oleh guru dalam organisasi sekolah dan pendidikan supaya guru dapat mengaplikasikannya sebagai asas untuk membina dan mengembangkan potensi manusia.

Tuesday, July 16, 2013

Sejarah Sekolah-sekolah Agama di Selangor

Sejarah institusi pendidikan Islam di Selangor bermula pada akhir abad yang ke-19. Menurut Frank W.Haines , Inspektor Sekolah Selangor (1894) melaporkan bahawa terdapat tujuh belas (17) buah kelas al-Quran diwujudkan pada tahun berkenaan. Ketika itu, kelas-kelas ini di bawah kelolaan kerajaan negeri Selangor. Matapelajaran seperti Ibadah, Tauhid dan Akhlak telah ditambah semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah, sultan Negeri Selangor ke-5 (1898-1938). Di zaman baginda Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah, sekolah-sekolah agama mendapat restu yang tidak berbelah bahagi daripada baginda sultan.

Baginda Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah telah menubuhkan sebuah sekolah agama perempuan di Kampong Bandar di daerah Kuala Langat ketika era pemerintahan almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah (1857-1898). Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa merupakan Raja Muda ketika itu sebelum menaiki takhta selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad yang merupakan sultan pertama di Selangor yang diiktiraf oleh Ruler in Council pada 5 September 1879.

Semasa pemerintahan Sultan Ala’eddin Sulaiman Shah, Madrasah Awamiah (1930) telah ditubuhkan di Kampung Sepintas, Sabak Bernam yang merupakan sekolah terulung di daerah Sabak Bernam. rentetan daripada perisiwa penubuhan sekolah agama rakyat berkenaan, ditubuhkan pula Sekolah Agama Parit Baru pada tahun 1933.

Dalam tahun berkenaan juga, sebuah sekolah yang dinamakan Madrasah Marta il Ulum al Diniah telah ditubuhkan di Bandar Diraja Klang. Madrasah Parit Lima Sungai Besar (1937) telah ditubuhkan dan penubuhan madrasah itu merupakan titik tolak pendidikan arab sepenuhnya apabila almarhum al-Sayyid Abdul Azizi al-Syaimi al-Misri telah membuat pembaharuan dengan menggalakkan pelajar-pelajar berbahasa arab.

Ketika pengunduran tentera Jepun (1946), bilangan sekolah agama semakin bertambah antaranya penubuhan Madrasah Unwan al Saadah di Kanchong Darat , Banting Kuala Langat. Pada tahun 1946, apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, secara tidak lansung pengurusan sekolah-sekolah agama telah ditingkatkan demi memartabatkan pendidikan Islam dan sekolah-sekolah agama di negeri Selangor.

Bermula daripada tahun 1946, pihak Jabatan Hal Ehwal Islam telah mula melantik guru-guru agama rendah yang ditugaskan di sekolah agama dari darjah satu hingga darjah lima. Pada tahun yang sama juga, Madrasah Ahliah Othmaniah untuk kaum wanita telah ditubuhkan di Klang yang diasaskan oleh Allahyarham Tuan Haji Othman. Madrasah tersebut merupakan sebuah sekolah arab bagi kaum wanita. Tahun 1948 – 1953 menyaksikan penubuhan sekolah-sekolah rendah agama di daerah Kuala Langat antaranya;.

a) Sekolah Agama Kanchong Darat.
b) Sekolah Agama Sungai Lang.
c) Sekolah Agama Labohan dagang.
d) Sekolah Agama Bukit Changgang.

Pada tahun 1952, setelah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor ditubuhkan, secara tidak lansung pengurusan sekolah-sekolah agama cuba ditingkatkan demi memartabatkan pendidikan Islam dan sekolah-sekolah agama di negeri Selangor. Tahun 1954 menyaksikan tertubuhnya beberapa buah sekolah agama dan arab antaranya;.

a) Sekolah Arab di Sabak Bernam (asas penubuhan SAMT Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah).
b) Sekolah Arab Kajang (dikenali kini sebagai SMKA Maahad Hamidiah Kajang).
c) Sekolah Arab Putera Puteri Jeram (dikenali kini sebagai SAM Jeram Batu 20).
d) Sekolah Arab Batang Kali.

Pada tahun 1960, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melaksanakan dua bentuk aliran persekolahan iaitu:.

a) Sekolah Arab hingga Rabic Thanawi.
Kesemua mata pelajaran/pengantar bahasa dalam bahasa arab .
b) Sekolah Agama darjah Khas.

Pengantar bahasa menggunakan bahasa Melayu manakala sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan menggunakan kitab-kitab agama tulisan jawi karangan ulama’ nusantara beserta mata pelajaran bahasa arab.

Sistem pelajaran agama aliran arab telah dihapuskan pada tahun 1976 manakala sistem pelajaran agama darjah khusus dihapuskan pada tahun 1977 yang menyebabkan terhapusnya sijil “Rabic Thanawi” dan Sijil Darjah Khas Sekolah-sekolah Agama. Ekoran daripada peristiwa berkenaan, pada tarikh 1 Jan 1977, sistem pengajian agama di negeri Selangor telah dibahagikan kepada dua peringkat iaitu:

1) Darjah satu hingga enam (peringkat rendah).
2) Tingkatan satu hingga enam atas (peringkat menengah).

Sistem dua peringkat dilaksanakan hingga kini dengan sedikit perubahan dari segi peperiksaan. Di peringkat rendah , Peperiksaan Sijil Darjah Enam (SDE) yang diperkenalkan pada tahun 1978, telah digantikan dengan Sijil Penilaian Rendah Agama (1994) dan kemudiannnya digantikan dengan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada tahun 2000. Peringkat menengah juga mengalami sedikit perubahan apabila peperiksaan Sijil Pelajaran Agama yang dilaksanakan ketika tingkatan enam bawah dimansuhkan dengan adanya Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2000. Ketika ini, sistem sedia ada dilaksanakan adalah berdasarkan Kurikulum Pendidikan Islam Sekolah Rendah Agama (KPISRA) di peringkat rendah dan Kurikulum Al-Azhar serta Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah di peringkat menengah.

Monday, July 15, 2013

Piagam Pelanggan

Piagam Pelanggan.

Memberi layanan yang saksama, telus dan mesra kepada semua pelanggan
Berusaha dengan penuh kesungguhan bagi memastikan penyediaan kemudahan program pendidikan Islam yang sistematik
Menyediakan perkhidmatan yang cekap, tepat, cepat dan beretika disamping masa
Menjunjung budaya bahawa kerja adalah ibadah dan amanah yang mesti disempurnakan dengan sebaik mungkin
Bersifat terbuka menerima pandangan, cadangan, teguran dan kritikan yang membina daripada semua pihak
Mendokong budaya kecemerlangan akademik dan sahsiah di semua peringkat persekolahan

Latar Belakang Sejarah Pendidikan

Latar Belakang Sejarah Pendidikan

•1986 Sejarah pendidikan bermula dengan nama Sekolah Al-Quran. Tumpuan hanya kepada pembelajaran Al-Quran.

•2000 Nama Sekolah Al-Quran ditukar kepada Sekolah Kitab dengan penambahan matapelajaran Al-Quran, Tauhid, Ibadat dan Tasauf.

•2000 Sekolah Agama Pagi/Petang dengan penambahan matapelajaran Muamalat, Munakahat, Faraid, Jenayah, Akhlak, Tarikh, Tulisan Jawi dan Bahasa Arab.

•2001 Kelas'Darjah Khas'diwujudkan sebagai satu-satunya lanjutan Sekolah Agama Petang.

•2002 Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA).

•2000 Pelarasan umur 7 tahun bagi kemasukan murid ke Sekolah Rendah Agama

•2003 Pelaksanaan Sekolah Rendah Agama Bersepadu ( SRAB ).

Objektif

Objektif Untuk melaksanakan usaha dan perancangan murni ini, kerajaan telah menetapkan dasar pendidikan seperti berikut :

"Menyedia dan memberi kemudahan pelajaran pembelajaran serta mengamalkan tuntutan fardu ain dan fardu kifayah dan meningkatkan kefahaman Islam keperingkat yang lebih tinggi daripada sudut membentuk peribadi muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah"

Pengenalan


Pengenalan
Sekolah Rendah Agama (SRA) adalah pendidikan peringkat sekolah rendah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor mulai sesi persekolahan 1999. Ia diwujudkan bagi memenuhi kehendak Pelan Tindakan Belanjawan Kajian Pendidikan Agama 1998.

Penyediaannya untuk membolehkan lepasan sekolah rendah agama Selangor dapat meneruskan pelajarannya ke peringkat menengah seterusnya ke Pusat Pengajian Tinggi dalam dan luar negeri. Di masa yang sama (SRA) adalah tapak untuk menyalurkan calon-calon pelajar ke peringkat menengah khasnya di sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri Selangor.

Menyepadukan antara Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA) Jabatan Agama Selangor bagi memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam Negeri Selangor.

Kesepaduan kurikulum KBSR dan KBSA dalam bidang matapelajaran merangkumi aspek teori dan amali serta nilai-nilai murni bagi melahirkan insan yang seimbang melalui kegiatan ko-kurikulum yang dilaksanakan bagi tujuan mempertingkatkan pengalaman dan pembelajaran di bilik darjah.
 

- Syarat-Syarat Kemasukan
1. Warganegara Malaysia
2. Beragama Islam
3. Berumur 7 tahun pada tahun berkenaan

- Kurikulum
Menggunakan kurikulum KBSR, Kementerian Pendidikan Malaysia bagi matapelajaran Akademik dan KBSA, Jabatan Agama Selangor bagi matapelajaran agama. Menerusi kurikulum yang disediakan diharap akan dapat melahirkan pelajar yang dapat menguasai dua bidang ilmu iaitu fardhu 'ain dan fardhu kifayah.
 

- Ko-Kurikulum
1. Persatuan/kelab
2. Sukan/ Riadhah
3. Aktiviti-aktiviti pertandingan
4. Sambutan hari-hari kebesaran Islam dan kegiatan gotong-royong
5. Aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan pihak sekolah.
 

- Struktur Pembelajaran
1. Hari persekolahan 5 hari seminggu
2. Masa pembelajaran : 8.00 pagi - 2.30 petang
8.00 pagi - 12.00 tengahari (hari Jumaat)
3. Tempoh pembelajaranan : 6 tahun
4. Jumlah murid bagi setiap kelas : antara 35 - 40 orang.
 

- Halatuju Sekolah Rendah Agama(SRA)
a. Bagi yang lulus, mereka boleh melanjutkan pelajarannya ke peringkat Darjah Khas Agama di samping meneruskan pengajiannya Sekolah Menengah Kebangsaan Kementerian Pendidikan
b. Berpeluang melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 1, Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri Selangor.